ULASAN BUKU WACANA
Assalamualaikum & Salam Sejahter... berjumpa lagi kita di waktu dan suasana yang berbeza hehe...ini kali aku akan berkongsi ilmu daripada sebuah Buku Wacana hasil penulisan Prof. Madya Dr. Normaliza binti Rahim...ok tidak perlu untuk aku bercakap panjang lebar terus saja kita membaca hahaha.... "mari-mari membaca insyaallah kita akan berjaya"
TAJUK BUKU : WACANA BAHASA
PENGARANG : NORMALIZA ABD RAHIM
PENERBIT : UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU (UMT)
ULASAN
Buku
Wacana Bahasa ini merupakan hasil tulisan Dr. Normaliza Abd Rahim dan dipersembahkan dalam pelbagai tajuk yang menarik. Buku ini mengandungi sembilan
bab yang mempunyai tujuan dan input yang sangat berguna kepada pelajar dan
masyarakat. Perkongsian pengalaman dan ilmu yang dicurahkan oleh penulis
memberi kesan yang mendalam kepada pelajar tentang dunia teater, penggunaan
media teknologi, penulisan papan cerita, pantun, sajak, kata kerja, antonim,
nilai sosial dan nilai murni dalam pembelajaran bahasa Melayu di peringkat
sekolah, universiti serta di tempat kerja. Galakan dan sokongan amat penting
untuk menyemai sifat ingin belajar bahasa Melayu di dalam diri setiap manusia
yang ingin berjaya dalam hidup.
Setelah
membaca dan meneliti buku ini, didapati dalam bab 1 Teater Kanak-Kanak,
membincangkan tentang sekumpulan anak yatim menonton teater kanak-kanak yang
berunsurkan persembahan teater fantasi. Selepas menonton teater, pelajar
tersebut diberi peluang untuk ditemu bual berkaitan dengan jalan cerita teater
yang dipersembahkan. Kelihatan raut wajah pelajar yang gembira dengan hasil
persembahan teater tersebut. Mereka juga diberi peluang untuk melontarkan
pendapat masing-masing mengenai teater tersebut. Walaupun pada awalnya mereka
kelihatan malu tetapi mereka dapat menyatakan pendapat dengan penuh keyakinan
dan masing-masing kelihatan berebut untuk memberikan pendapat.
Selain
itu, pelajar dapat memahami jalan cerita dengan baik dan dapat menyatakan apa
yang berada di dalam fikiran mereka berkaitan dengan teater tersebut. Impaknya
ialah pelajar dapat menonjolkan kreativiti mereka dalam mengolah jalan cerita
dan pakaian pelakon di dalam teater itu. Daya kreativiti yang tinggi membuatkan
mereka ingin menjadi seperti karektor yang mereka sukai seperti Dahlia, Arnab,
Ulat bulu dan lain-lain. Perbincangan dua hala membolehkan pelajar menerima dan
memberi kritikan. Perbincangan yang positif melahirkan pelajar yang berfikir
secara kritis dalam memberikan pendapat mereka. Oleh itu, persembahan teater merupakan
salah satu aktiviti untuk menarik minat pelajar dalam mempelajari bahasa Melayu
dan dapat meningkatkan keyakinan kanak-kanak dalam memberi pendapat yang
kritis.
Seterusnya
dalam bab 2 Penggunaan Media Teknologi, memaparkan kepentingan media teknologi
dalam pembelajaran bahasa Melayu kepada pelajar di universiti. Tajuk ini
melibatkan tiga puluh tujuh pelajar dari kursus Kesusasteraan dalam Multimedia
di Universiti Putra Malaysia. Tugasan yang diberi ialah membuat aktiviti Satu Shot Klip Video dan memilih satu lagu
Melayu. Setiap kumpulan telah melakukan perbincangan dengan memilih tema untuk
aktiviti tersebut. Pemilihan muzik lagu sama ada pop rock atau slow rock
menunjukkan bahawa terdapat perbezaan pendapat dalam pemilihan tema. Situasi
itu menggambarkan terdapat kumpulan yang tidak bersetuju dengan pendapat
kumpulan yang lain tentang pemilihan tema bagi aktiviti tersebut. Namun,
masalah itu dapat diselesaikan dengan menggunakan bahasa yang tidak menyinggung
perasaan sesiapa. Kesan perbincangan tersebut memberi ruang kepada semua
pelajar untuk belajar menerima dan memberi cadangan secara positif tanpa salah
faham.
Penggunaan
bahan dalam klip video juga memainkan peranan yang penting dalam pembikinan
video dengan menggunakan media teknologi. Pandangan yang berbeza dalam
pemilihan bahan dalam video perlu mencapai kata sepakat supaya sesuai dengan
tema yang telah ditetapkan. Perbincangan yang lancar menunjukkan pelajar
bertolak ansur semasa berinteraksi antara satu sama lain. Tambahan pula,
pemilihan watak dalam video perlu ditetapkan untuk setiap ahli kumpulan yang
terlibat. Pemilihan watak perlu sesuai supaya pemegang watak dapat melakonkan
watak tersebut dengan baik dan berkesan. Aktiviti ini dapat meningkatkan keyakinan
pelajar menggunakan media teknologi
seperti video kamera bagi menghasilkan sebuah klip video yang terbaik.
Selanjutnya,
buku ini juga ada membicarakan tentang Penulisan Papan Cerita dalam bab 3.
Secara umumnya, pantun merupakan salah satu genre Kesusasteraan Melayu lama dan
masih digunakan di majlis-majlis keramaian. Pantun dua kerat lebih mudah
difahami dan pantun empat kerat sesuai digunakan dalam majlis yang tertentu.
Penulis telah memilih tiga puluh subjek dari jurusan Sastera Melayu di Universiti
Putra Malaysia untuk sampel kajian ini. Subjek dikehendaki menyediakan
langkah-langkah penulisan papan cerita dan menerbitkan pantun berpandukan papan
cerita tersebut. Contohnya ialah menentukan tema papan cerita, mencipta pantun
dua kerat untuk papan cerita dan penggunaaan teknologi dalam papan cerita. Oleh
yang demikian, kajian ini memberi manfaat kepada masyarakat kerana dapat
memelihara khazanah hasil karya pantun yang sedia ada di Malaysia.
Ulasan
untuk bab yang seterusnya dalam bab 4 Pantun Melayu, ialah pelajar perlu
mengenali pantun tradisional dan pantun moden supaya dapat mengekalkan kesenian
serta mengetahui makna pantun tersebut. Pendedahan secara formal memberi ruang
kepada pelajar untuk menikmati nilai murni dan estetika yang terdapat dalam
pantun. Sekaligus, dapat memberikan keindahan dalam bahasa Melayu berdasarkan
tema pantun. Kajian ini menggunakan teori analisis wacana bagi tujuan
menganalisis perbincangan pelajar dalam kumpulan mengenai pantun Melayu. Kajian
ini melibatkan lapan belas pelajar Korea lelaki dan perempuan dari Hankuk University of Foreign Studies,
Korea. Perbincangan pantun seperti pantun nasihat, kasih-sayang, pengajaran dan
seloka. Perbincangan tersebut bertujuan untuk memberi peluang kepada semua ahli
kumpulan memberikan pendapat dengan penuh keyakinan. Persoalan yang timbul
mengenai maksud pantun akan diselesaikan oleh ahli kumpulan itu sendiri.
Lantas, mereka akan dapat memahami makna pantun dengan baik. Oleh itu, matlamat
kajian ini adalah untuk memperkenalkan pantun Melayu dan memperlihatkan pantun yang mempunyai nilai
budi yang tinggi kepada pelajar Korea.
Seterusnya
bab 5 Sajak Melayu, membincangkan tentang sajak yang ditulis bertujuan untuk
meluahkan perasaan terhadap alam, keindahan, percintaan serta nilai estetika
yang lain. Sajak juga memberi pengajaran dan kesedaran kepada masyarakat
tentang keadaan yang berlaku disekeliling kita. Tugasan One Stop Motion Animation memberi impak kepada para akademik dan
pelajar untuk menyelesaikan masalah berkaitan dengan tema atau tajuk, membina
patung atau figuirine, mengambil gambar untuk pergerakan animasi serta menyusun
gambar. Perbincangan untuk menyiapkan tugasan tersebut berjalan dengan lancar
hasil daripada usaha kerjasama dalam kumpulan.
Objektif
kajian bab 5 ini adalah untuk menganalisis perbualan pelajar dalam
membincangkan dua buah sajak oleh A. Samad Said, iaitu Jika dan Waris Bertuah.
Pelajar terdiri daripada sepuluh orang subjek dari satu kelas Kesusasteraan
Kontemporari di Hankuk University of Foreign Studies, Korea. Perbincangan
pendapat dari dua kumpulan iaitu Kumpulan 1 dan Kumpulan 2 dan hasil
perbincangan antara dua kumpulan tersebut ialah terdapat pelajar yang berupaya
untuk memberikan maksud bagi sajak-sajak tersebut. Kerjasama yang diberi
membuahkan hasil yang positif seperti berkeyakinan tinggi dan sanggup menerima
kritikan dari pihak lain yang berbeza pendapat atau pandangan tentang maksud
sajak tersebut.
Ulasan
bab 6 Kata Kerja dalam Cerita Binatang pula, ialah pelajar sindrom Asperger
merupakan pelajar yang digolongkan dalam kalangan pelajar istimewa. Bab ini
memberi fokus kepada penggunaan kata kerja dalam cerita binatang dalam kalangan
pelajar sindrom Asperger. Kajian oleh Dr. Normaliza Abd Rahim ini menunjukkan
bahawa pelajar sindrom Asperder lebih memberi perhatian terhadap perlakuan
berulang kali dalam cerita sosial.
Selain
itu, pelajar sindrom Asperger berminat dalam sesi bercerita. Tujuan kajian
ialah menganalisis penggunaan kata kerja, persoalan dan penceritaan pelajar
sindrom Asperger. Pelajar dapat mengingati kata kerja walaupun cuba meniru apa
yang diucapkan oleh guru seperti ‘lompat’, ‘lari’, ‘minum’, ‘makan’, ‘jerit’
dan sebagainya. Oleh itu, pelajar menggunakan kata kerja di dalam ayat mudah.
Misalnya, pelajar menyebut, ‘Katak itu lompat lagi’ dan ‘Gajah itu makan tebu’.
Persoalan pula ialah ‘Kenapa tikus itu berlari?’ menunjukkan bahawa pelajar
dapat mengaitkan cerita yang mereka dengar dengan apa yang mereka faham. Hasil
kajian ini ialah menunjukkan bahawa pelajar sindrom Asperger gembira dan
berminat dengan aktiviti yang dijalankan di dalam kelas.
Dalam
bab 7 Antonim Bahasa Melayu, mengolah tentang penggunaan antonim dalam bahasa
Melayu di negara lain dalam kalangan pelajar asing. Kajian ini memberi fokus
kepada penggunaan antonim bahasa Melayu dalam kalangan pelajar di Korea.
Objektif kajian ini ialah untuk mengenal pasti serta membincangkan penggunaan
antonim bahasa Melayu dalam kalangan pelajar Korea. Analisis kajian ini
menggunakan kaedah analisis wacana oleh Brown dan Yule (1983). Pelajar
menggunakan antonim dengan menggunakan kata kunci ‘Mengapakah’, ‘Adakah’,
‘Bilakah’, ‘Bagaimanakah’, dan ‘Siapakah’.
Selain
itu, penggunaan antonim dalam ayat mudah juga kerap digunakan oleh pelajar semasa
perbincangan. Justeru, pelajar didapati lebih gemar membina ayat kerana mereka
yakin dan faham tentang ayat tersebut. Ayat melibatkan penggunaan benda,
binatang dan manusia untuk membandingkan penggunaan antonim dalam pembentukan
ayat. Dapatan kajian menunjukkan bahawa pelajar Korea mampu untuk menjelaskan
antonim bahasa Melayu semasa perbincangan di dalam kumpulan. Pelajar Korea juga
dapat menjelaskan makna setiap perkataan dan antonim dengan menggunakan soalan
dan ayat. Kajian ini juga memberi galakan kepada pelajar asing untuk mendalami
ilmu bahasa Melayu.
Seterusnya,
ulasan dalam bab 8 Penerapan Nilai Sosial melalui Lakonan Cerita, adalah kajian
untuk mengenal pasti dan menyenaraikan nilai sosial dalam kalangan kanak-kanak
sindrom Asperger. Empat kanak-kanak lelaki dari sebuah sekolah telah dikenal
pasti bagi tujuan kajian ini. Kanak-kanak tersebut boleh bertutur tetapi tidak
boleh menumpukan perhatian yang lama di dalam sesuatu pembelajaran. Mereka juga
tidak pandai atau tidak tahu bersosial dengan kawan-kawan yang lain.
Tiga
cerita sosial telah digunakan dalam kajian ini ialah pertama cerita sosial 1
adalah bertemakan nilai sosial berterima kasih dan tolong. Cerita sosial 2
adalah bertemakan nilai sosial beratur manakala cerita sosial 3 adalah bertemakan
hormat-menghormati. Kanak-kanak dapat memahami ucapan ‘terima kasih’ dan
‘tolong’ selepas melakukan lakonan bersama kanak-kanak tersebut. Selain itu,
pelajar dapat memahami konsep beratur dan cuba mengamalkan amalan beratur di
kantin sekolah, kelas atau tandas. Nilai tolong-menolong pula mengajar
kanak-kanak ini untuk membantu orang lain yang berada dalam kesusahan.
Justeru,
ketiga-tiga cerita sosial ini membantu kanak-kanak tersebut mengenali nilai
sosial dalam lakonan cerita. Tambahan pula, dapat memberi keyakinan untuk
berinteraksi dengan orang lain, bersikap disiplin dan dapat menyesuaikan diri
dalam situasi yang berbeza. Hasil kajian menunjukkan bahawa pelajar akan dapat
memahami konsep nilai sosial dan membantu memberi kegembiraan untuk menjalani
kehidupan seharian mereka.
Objektif
kajian dalam bab 9 Nilai Murni dalam Peribahasa Melayu, adalah untuk mengenal
pasti dan membincangkan jenis peribahasa yang mengandungi nilai murni dalam
kalangan pelajar Korea. Enam puluh peribahasa diperkenalkan dan cuma dua puluh
peribahasa yang mempunyai nilai murni dan dapat dikaitkan dengan kehidupan
mereka di Korea. Pelajar diterangkan mengenai setiap peribahasa tersebut dan
mereka memberi penjelasan yang jelas mengenai peribahasa tersebut. Antara nilai
murni yang dikenal pasti ialah nilai mudah mesra, usaha, perpaduan, nilai
murni, nasihat, dan kehidupan. Hasil perbincangan pelajar akan memperoleh
pengetahuan untuk memahami dan mengaitkan peribahasa di dalam diri, keluarga
dan masyarakat di dalam kehidupan seharian. Pelajar Korea juga akan mendapat
manfaat iaitu dapat mempelajari bahasa Melayu dan budaya Melayu kerana
peribahasa merupakan salah satu cara untuk menyampaikan nilai murni tersebut.
Kesimpulannya,
secara keseluruhan dalam setiap bab mengandungi kepentingan dan memberi manfaat
kepada para akademik, pelajar dan masyarakat yang ingin mendalami ilmu bahasa
dan kesusasteraan dari pelbagai aspek dan bidang. Kajian ini juga mendorong
seseorang untuk lebih berkeyakinan tinggi dalam melontarkan sesuatu pendapat
dalam perbincangan berkumpulan. Selain itu, memberi kebaikan kepada pelajar
asing untuk mempelajari bidang bahasa yang berminat akan nilai estetika yang
terdapat dalam bahasa Melayu itu sendiri.
No comments:
Post a Comment