Sunday, December 13, 2015

BBM3410

LEARNING THROUGH BLOG WRITING

Embracing the Technology

Assalamualaikum & Selamat Sejahtera...perkongsian aku ini kali adalah hasil ulasan aku dari sebuah buku LEARNING THROUGH BLOG WRITING (Embracing the Technology) hasil karya Prof. Madya Dr. Normaliza binti Rahim...buku ini dihasilkan dalam bahasa Inggeris, namun aku telah membuat ulasan dalam bahasa Melayu...semoga para pembaca mendapat kebaikan dari perkongsian aku ini bye...See You Again hahaha


TAJUK : Learning Through Blog Writing (Embracing the Technology)
PENGARANG : Normaliza Abd Rahim
PENERBIT : Universiti Malaysia Terengganu (UMT)

ULASAN
‘Learning Through Blog Writing Embracing the Technology’ hasil tulisan Normaliza Abd Rahim merupakan sebuah buku yang menjelaskan bagaimana blog dan penulisan blog mampu berfungsi sebagai medium pembelajaran. Buku ini turut memberikan panduan ringkas mengenai penulisan blog bagi pembaca yang baru hendak berjinak-jinak dalam penulisan blog ini. Buku ini mempunyai 8 bab yang membahagikan kandungan buku kepada beberapa bahagian tertentu. Menurut senarai kandungan yang disertakan dalam buku ini, pembahagian bab dimulakan dengan pengenalan terhadap blog dan penulisan blog diikuti dengan kajian-kajian yang dijalankan berkait mengenai penulisan blog, seterusnya perbincangan bagaimana penulisan blog mampu meningkatkan pembelajaran terutamanya dalam pembelajaran bahasa dan kesusasteraan. Perbincangan berikutnya adalah mengenai panduan ringkas mengenai permulaan blog serta penulisannya dan etika yang perlu dipatuhi dalam penulisan blog. Menerusi pembahagian bab yang jelas ini mampu membantu memudahkan pembaca untuk mencari maklumat yang diperlukan. Menyentuh struktur penulisan buku ini, kulit hadapan buku dilihat bertepatan dengan tajuk buku yang memberi gambaran bahawa buku ini merupakan sebuah buku yang bertujuan untuk mendedahkan bagaimana penggunaan blog mampu menjadi medium pembelajaran kepada pembaca. Gaya dan bentuk bahasa yang diguna pakai dalam penulisan buku mudah difahami kerana menggunakan simple English. Hanya terdapat beberapa perkataan yang sukar difahami dalam buku ini seperti nichet dan postulate, tambahan pula, dalam daftar istilah yang disertakan tidak terdapat dua perkataan tersebut. Buku ini turut menyertakan ilustrasi bagi memudahkan pemahaman pembaca dan sebagai panduan terhadap blog dan penulisannya. Setiap langkah yang diberikan disertai ilustrasi berupa gambaran laman web yang akan terpapar sekiranya langkah bagi memulakan blog dan penulisan blog yang dinyatakan dituruti.
            Seterusnya, dalam bab pertama iaitu pengenalan terhadap blog dan penulisan blog, Normaliza Abd Rahim menyatakan bahawa blog merupakan satu bentuk perbincangan bertulis sama ada dalam bentuk tulisan formal atau tidak formal. Dalam bab ini, Normaliza Abd Rahim turut menyatakan bahawa penulisan blog bukan sahaja mempunyai fungsi komersial sebaliknya turut menjalankan fungsi yang bersifat personal dan keindividuan. Normaliza Abd Rahim menjelaskan bahawa blog menjalankan fungsi keindividuan melalui kepuasan yang dicapai setelah melahirkan pendapat mahupun menunjukkan kemahiran serta bakat dalam penulisan blog oleh individu. Dalam bab pengenalan terhadap blog dan penulisan blog ini penulis turut memberi definisi blog oleh pengkaji lain. Antaranya pandangan Li & Chignell (2010) yang menyatakan sebagai satu laman sosial dan alat komunikasi, blog bukan sahaja menghubungkan pengguna dengan komputer sebaliknya turut menghubungkan penulis-penulis blog dalam satu  jaringan komunikasi. Seterusnya, Normaliza Abd Rahim menekankan pendapat beliau bahawa blog boleh menjadi satu medium dalam pembelajaran. Pendapat beliau disokong dengan penyataan daripada pengkaji-pengkaji blog yang lain. Antara pengkaji yang mampu menyokong pendapat penulis buku ini adalah hasil kajian Zaini et. al. (2012) yang menunjukkan penggunaan blog mampu meningkatkan kemahiran menulis dalam pembelajaran bahasa. Penyataan pengkaji lain yang disertakan dalam buku ‘Learning Through Blog Writing Embracing the Technology’ hasil tulisan Normaliza Abd Rahim bagi menyokong pendapat penulis bahawa penulisan blog mampu meningkatkan pembelajaran adalah penyataan Zahra Shahsavar & Tan (2011) yang menyatakan penggunaan blog dalam kalangan pelajar mempengaruhi komunikasi pelajar dalam alam maya. Dalam bab pertama buku ini, penulis turut mendedahkan pembaca kepada panduan ringkas dalam penulisan blog menurut Rieck (2014). Penulis berpendapat panduan ringkas oleh Rieck (2014) ini mempunyai persamaan dengan 20 langkah dalam penulisan blog yang dinyatakan oleh Darren (2014). Turut disertakan dalam bab 1 adalah pengklasifikasian jenis penulisan blog menurut Darren (2014) dan Rotolo (2012).

            Dalam bab 2 penulis Normaliza Abd Rahim mengemukakan kajian-kajian yang pernah dijalankan berkaitan blog dan penulisan blog. Antara kajian yang disertakan penulis adalah kajian oleh Cisco Public Information (2008), pembelajaran melalui media merupakan salah satu kaedah pembelajaran yang mendatangkan kesan positif. Seterusnya adalah  kajian oleh Comlab India for Effective Learning (2012) yang menyatakan terdapat hubungan positif negatif dalam penggunaan media dalam pembelajaran. Menurut penulis buku ‘Learning Through Blog Writing Embracing the Technology’, Normaliza Abd Rahim menjelaskan kajian yang dijalankan oleh Comlab India for Effective Learning (2012) ini mendapati antara kesan positif penggunaan media dalam pembelajaran adalah mewujudkan kepelbagaian kaedah proses pembelajaran. Terdapat lebih 15 kajian lepas yang disertakan penulis dalam buku ‘Learning Through Blog Writing Embracing the Technology.’
Seterusnya bab 3 buku Learning Through Blog Writing Embracing the Technology’ membincangkan kajian yang dijalankan oleh penulis sendiri mengenai pembelajaran melalui penulisan blog. Kajian penulis dijalankan di Hankuk University of Foreign Studies, Korea, dalam kalangan 60 pelajar lelaki dan perempuan. Pelajar-pelajar ini merupakan pelajar yang mempelajari bahasa Melayu daripada enam kelas yang berbeza, mempunyai pengalaman dalam penulisan blog pada semester sebelumnya dan secara sukarela menjadi responden dalam kajian yang dijalankan oleh penulis. Hal yang sama dibincangkan dalam bab 4, di mana penulis mengetengahkan kajian beliau mengenai pembelajaran melalui penulisan blog. Kajian ini juga dijalankan di Hankuk University of Foreign Studies, Korea, dalam kalangan sepuluh orang pelajar yang diarah untuk melakukan penulisan blog sekurang-kurangnya tiga kali seminggu, dalam tempoh sepuluh minggu. Terdapat 330 penulisan blog sebagai data kajian. Kedua-dua hasil kajian penulis kemudian dikupas dengan lebih terperinci dalam bab 5 dan bab 6.
Penulis mula membincangkan panduan dan langkah-langkah dalam memulakan penulisan blog secara umum tanpa mengikut mana-mana pengkaji terdahulu dalam bab 7. Penulis turut menyediakan ilustrasi laman sesawang yang akan terpapar sekiranya pembaca mengikuti langkah yang diberikan. Panduan dan langkah-langkah yang diberikan penulis bermula dari pembukaan akaun google mail, akaun mail yang diperlukan sebelum individu boleh memulakan penulisan blog. Seterusnya, penulis menunjukkan langkah-langkah pendaftaran blog menggunakan blogspot dan wordpress. Ilustrasi yang disertakan dalam bab 7 ini mampu memudahkan pemahaman pembaca terhadap langkah pembukaan blog seperti yang dinyatakan. Etika dalam penulisan blog kemudiannya dibincangkan oleh penulis dalam bab yang terakhir.
 Buku ‘Learning Through Blog Writing Embracing the Technology’ hasil tulisan Normaliza Abd Rahim ini mempunyai banyak maklumat, namun begitu, tajuk dan kulit depan buku memberi pandangan yang berbeza dengan kandungan penulisan dalam buku ini. Buku yang ditulis Normaliza Abd Rahim ini lebih menyerupai kompilasi kajian-kajian lepas mengenai blog dan penulisan blog. Penulis menggunakan terlalu banyak sitasi dalam menyatakan pendapat beliau. Tujuan penulis sememangnya untuk mengukuhkan pendapat beliau namun penggunaan sitasi yang terlalu banyak mengelirukan pembaca. Menerusi pembacaan keseluruhan maklumat dalam buku, pendapat penulis didapati terlalu sedikit. Penggunaan sitasi terlalu kerap digunakan penulis, bukan sahaja bertujuan bagi menyokong pendapat dan fakta yang beliau nyatakan sebaliknya juga bagi menunjukkan perkembangan fakta yang beliau nyatakan  Tajuk serta kulit buku memberikan pandangan bahawa buku ini merupakan sebuah buku pendedahan dan panduan yang ringkas, bukan dipenuhi maklumat-maklumat yang padat dan berat. Maklumat-maklumat yang didedahkan penulis dalam buku ‘Learning Through Blog Writing Embracing the Technology’ bukan maklumat yang diperlukan oleh pembaca yang hanya ingin mengetahui langkah-langkah dalam penulisan blog.
Selain itu, dalam buku ‘Learning Through Blog Writing Embracing the Technology’ ini juga penulis dilihat bijak menyusun ayat dalam mengubah pandangan pembaca. Penulis bukan hanya menyatakan kelebihan dalam penulisan blog tetapi turut menyatakan kekurangan dan masalah yang boleh timbul akibat penyalahgunaan blog. Namun begitu, penulis mengupas isu tersebut dengan penggunaan ayat yang mampu membuatkan pembaca melihat kekurangan dan masalah tersebut sekadar perkara kecil jika dibandingkan dengan kelebihan dan kebaikan yang didatangkan melalui blog dan penulisan blog.

Kesimpulannya, buku ‘Learning Through Blog Writing Embracing the Technology’ hasil tulisan Normaliza Abd Rahim ini merupakan sebuah buku yang padat dengan maklumat bagi pengkaji yang inginmencari rujukan dalam menjalankan kajian berkenaan blog dan penulisan blog namun merupakan sebuah buku yang berat bagi individu yang hanya ingin mempelajari blog dan panduan ringkas penulisan blog.

No comments:

Post a Comment